Wednesday, November 21, 2007

NISA'WP LAHIRKAN DREAM TEAM!!

NISA` WP telah melalui pelbagai pahit manis dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kepada ahli-ahli NISA` dan masyarakat khususnya wanita bermula daripada Rebranding Nisa’WP sehinggalah ke saat ini. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kelemahan dan kelebihan penggerak NISA’WP dapat dikenalpasti. Bagi memastikan gerak kerja yang lebih mantap dan tersusun serta disulami dengan ukhuwah Islamiyah yang suci, Nisa’ WP telah mengatur satu program khas untuk penggerak Nisa’WP seluruh WP yang dinamakan NISA’WP DREAM TEAM. NISA’WP DREAM TEAM yang berlangsung pada 17 hingga 18 November 2007. Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada penggerak NISA` setiap kawasan sekitar Wilayah Persekutuan telah berkampung selama 2 hari malam di Kuang, Selangor.
NISA’ WP menggariskan matlamat dalam program kali ini iaitu untuk memantapkan gerak kerja Nisa` WP diperingkat Wilayah Persekutuan dan kawasan di samping memberi kefahaman yang jelas tentang matlamat dan hala tuju NISA’.
Program ini diisi dengan pelbagai pengisian dan tajuk yang mantap seperti Konsep organisasi dan Ciri-ciri organisasi cemerlang yang menjelaskan kepada para peserta cara-cara untuk membentuk sebuah organisasi yang cemerlang dan meningkatkan kualiti gerak kerja dalam organisasi secara lebih sistematik yang disampaikan oleh Ustaz Idris Ahmad.
Selain itu, satu slot bertajuk Kepimpinan yang disampaikan oleh Ustazah Hasrina, telah memberi impak yang berkesan kepada peserta mengenai konsep kepimpinan yang sebenarnya dan mengenali ciri-ciri pemimpin dan persediaan untuk menjadi seorang pemimpin yang cemerlang.
Dalam mendepani cabaran kota metropolitan ini, penggerak Nisa’ perlu lebih bersedia dan melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan supaya gerak kerja akan lebih tersusun. Menyedari keperluan ilmu pengurusan ini, Nisa’WP mengundang Dr.Hamdan Syukur bagi memberikan panduan kepada peserta dalam memandu organisasi NISA’ ke arah yang lebih jelas dan tersusun. Penyampaian bertajuk Pengurusan Strategik, berjaya membuka minda NISA’ dalam menentukan corak pengurusan yang lebih terancang.
Selain pengisian ceramah yang menarik, program kali ini turut diisi dengan aktiviti riadah dan santai seperti sessi suai kenal antara peserta program dan Exco Nisa’WP, Latihan Dalam Kumpulan (Brainstroming 3 unit dalam Nisa’, Brainstorming Isu Semasa), Qiamullail, Kuliah Subuh, Tazkirah Berantai, Ramah Mesra Bersama BONDA NISA’, Forum ‘Khidmat Nisa’ buat BONDA’ dan sessi belajar berenang bersama Dr Rosni – Timbalan Pengarah Nisa’ Malaysia.
Program ini diakhiri dengan slot terakhir, yang begitu bermakna kepada para peserta iaitu Heart to Heart - Sharing Session bersama Pengarah NISA` Wilayah Persekutuan iaitu Puan Hani Ali. Pelbagai komen dan kritikan diterima daripada peserta dan pihak Exco Nisa’WP menerimanya dengan berlapang dada. Program ini diakhiri dengan Lambaian Ukhuwah. Para peserta bersalam-salaman antara satu sama lain sebelum meninggalkan tapak program sekitar jam 5.30 petang.
Melalui program NISA` WP DREAM TEAM ini, ia dapat memberi seribu satu manfaat melalui pengisian-pengisiannya yang mana merangkumi aspek dunia dan akhirat. Dan, yang paling penting adalah untuk melahirkan para pelapis NISA` yang akan memartabatkan dan memantapkan lagi organisasi NISA` Wilayah Persekutuan pada masa akan datang.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada peserta dan AJK-AJK yang telah menjayakan program NISA` WP DREAM TEAM ini.

“Mantapkan Iltizam, Semarakkan Perjuangan”

No comments: