Friday, March 23, 2007

ASMA'.....MODEL CONTOH REMAJA ISLAM!!!

Assalamualaikum pembaca blog yang dikasihi sekalian. Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kami bawakan transkrip temubual NISA'WP yang diwakili Kartini Ahmad bersama pemain bola tampar NISA'WP adik Asma' Ahmad Razali yang mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM 2006 baru-baru ini. Temubual dijalankan pada 18 Mac 2007 bertempat di Gelanggang Bola Tampar Kompleks Sukan Tasik Titiwangsa. Kita ikuti hasil temubual ini....
NISA'WP: Boleh ceritakan sedikit berkenaan latarbelakang saudari?
ASMA': Saya dilahirkan pada 1 Jun 1989 di El Paso, Amerika Syarikat dan merupakan anak ketiga daripada enam orang adik-beradik. Ayah saya merupakan lulusan kursus kejuruteraan dan ibu saya adalah graduan dalam bidang perniagaan dan sekarang ini kedua-duanya menjalankan perniagaan insurans. Saya sendiri telah memasuki alam persekolahan sejak usia 3 tahun di Tadika Al-Hidayah di Selayang dan seterusnya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang Baru sebelum bertukar ke Sekolah Rendah Sinaran Budi. Untuk peringkat menengah pula, pada mulanya saya bersekolah di Sekolah Agama Menengah Rawang dan kemudiannya sehingga saya mengambil SPM, di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang. Saya merupakan seorang pengawas di sekolah sehingga Tingkatan Empat. Berkenaan hobi, saya tidak mempunyai sebarang hobi tetap cuma saya bergiat aktif dalam bidang sukan seperti olahraga, bola jaring, bola tampar, ping pong dan bowling selain turut terlibat dengan kumpulan nasyid. Dalam persatuan pula, saya merupakan exco BADAR dan pernah terlibat dalam Nadwah Kepimpinan Islam. Di antara anugerah yang saya pernah terima di peringkat sekolah ialah Anugerah Tokoh Pelajar Terbaik dari Tingkatan Satu hingga Tiga manakala pencapaian di dalam peperiksaan pula adalah 5A dalam UPSR, 9A dalam PMR dan baru-baru ini, 11 A1, 1 A2 dalam SPM.

NISA'WP: Apakah teknik pembelajaran yang diamalkan oleh saudari?
ASMA': Oleh kerana saya sekolah di sekolah berasrama, masa saya sebenarnya amat terhad kerana perlu terlibat dengan pelbagai aktiviti di asrama. Namun begitu, saya percaya kepada prinsip “bukan banyak mana masa yang diperlukan tetapi lebih kepada bagaimana kita meningkatkan kualiti dalam penggunaan masa tersebut” dalam erti kata lain, memaksimakan kualiti masa itu. Di dalam kelas, saya akan menumpukan perhatian sepenuhnya ketika guru mengajar. Selain itu, kami di sekolah turut membuat kumpulan belajar (study group) sesama kami dengan tujuan utamanya untuk meningkatkan daya ingatan terhadap sesuatu bab yang dipelajari bagi setiap subjek. Di antara kaedah yang digunakan adalah contohnya bagi subjek Biologi, setiap kumpulan belajar tadi akan berbincang dan kemudiannya merekacipta sesuatu “singkatan” (pneumonic) untuk mengingati suatu bab, “singkatan” yang paling kreatif serta paling mudah diingati akan dipilih untuk dijadikan bahan bagi mengingati bab tersebut oleh semua pelajar. Saya dapati cara ini adalah antara cara paling berkesan untuk menghafal bagi mana-mana subjek.

NISA'WP: Tentunya di pihak saudari sebagai seorang pelajar mempunyai pengalaman menarik yang boleh dikongsi bersama pembaca blog ini.
ASMA': Di antara pengalaman yang paling menarik ialah apabila saya menganjurkan satu kempen yang dinamakan “Kerana Dirimu Begitu Berharga”. Kempen ini adalah kempen untuk menggalakkan pelajar perempuan memakai sarung kaki di mana kita menerangkan berkenaan mengapa pelajar perempuan perlu memakai sarung kaki kerana ia merupakan sebahagian daripada aurat yang wajib dilindungi. Walaupun pada mulanya kempen tersebut tidak mendapat sambutan termasuk daripada rakan-rakan sendiri tapi apabila diberikan penerangan akhirnya ramai yang dapat menerima dan mengubah daripada keadaan tidak memakai sarung kaki kepada memakai sarung kaki. Saya dapati, kadangkala ada di antara mereka tidak mendapat kefahaman yang jelas berkenaan sesuatu terlebih dahulu sebelum mereka betul-betul mengamalkannya oleh itu, amalan mereka itu tidak istiqamah berbanding jika mereka mengamalkan setelah mendapat kefahaman yang jitu berkenaan sesuatu amalan.
Selain daripada itu, saya juga berpengalaman dalam membantu untuk memulihkan pelajar yang terkena histeria di asrama di mana kadangkala sehingga menyebabkan kita kurang rehat dan tidur. Walaubagaimanapun, saya sentiasa berpegang kepada prinsip “Jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita pula”.

NISA'WP: Boleh saudari ceritakan kepada pembaca, selain daripada usaha-usaha yang dilakukan, apakah lagi yang saudari lakukan untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan?
ASMA': Suka saya kongsikan bahawa di samping usaha saya mengulangkaji pelajaran, saya juga mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis dan Qiyam (bangun melakukan ibadah-ibadah tertentu). Bagi saya, berjaga malam kurang berkesan untuk mengulangkaji, oleh itu, saya akan bangun menjelang Subuh dan seterusnya melakukan Solat Hajat dan sebagainya. Selepas Subuh, saya mengamalkan membaca Manzil (ayat-ayat tertentu yang boleh digunakan sebagai pendinding). Saya percaya bahawa kejayaan cemerlang hanya dapat diperolehi melalui usaha kita di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Kadangkala saya bukan sahaja berpuasa Isnin dan Khamis bahkan sepanjang minggu kerana pada saya, berpuasa menjadikan tubuh kita menjadi lebih segar dan bertenaga untuk melakukan apa jua aktiviti pun.

NISA'WP: Bagaimanakah keadaaan kehidupan sosial saudari?
ASMA': Saya secara peribadi bukan seorang yang suka keluar dengan rakan-rakan sekolah sebagaimana mungkin sesetengah remaja gemar melakukannya. Saya lebih suka terikat dengan keluarga kerana dengan mereka, saya berasa lebih selesa dan selamat. Saya cuma pernah keluar menonton wayang sekali sahaja, itu pun dengan abang saya sendiri. Namun begitu, saya bukanlah seorang yang bersikap anti-sosial kerana saya mampu bergaul baik dengan rakan-rakan sewaktu di sekolah.

Saya pernah berkawan dengan seseorang di mana beliau merupakan seorang pelajar yang baik di sekolah namun apabila berada di luar sekolah, beliau seolah-olah mendapat kejutan budaya dan terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang. Pada saya, saya jadikan peristiwa tersebut sebagai satu pengajaran dan seterusnya saya mengambil inisiatif untuk bergaul dengan remaja seperti ini untuk mengetahui apakah puncanya mereka boleh berkelakuan demikian. Remaja adalah satu kelompok manusia yang suka mencuba namun kadangkala mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itu boleh memudaratkan mereka sehingga mereka terjebak ke kancah yang lebih serius. Saya fikir ia menjadi tugas berat kepada remaja seperti saya untuk cuba menarik golongan remaja yang telah terjebak ini ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan bermatlamat.

NISA'WP: Apa perancangan saudari selepas SPM?
ASMA': Saya berhajat ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara kerana saya juga suka mencuba sesuatu yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini.

NISA'WP: Ada sesiapa yang saudari ingin berikan ucapan penghargaan?
ASMA': Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada kedua ibu-bapa yang banyak membantu saya, adik-beradik yang banyak memberikan sokongan moral, guru-guru yang telah berpenat-lelah memberi tunjuk-ajar sehingga memungkinkan saya mencapai kejayaan ini, warden-warden yang banyak membantu saya menjalani kehidupan yang mencabar di asrama, kakak-kakak Nisa’ yang merupakan antara orang pertama mengucapkan tahniah kepada saya serta semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan saya berjaya mencapai keputusan yang cemerlang ini.

NISA'WP: Akhir sekali, boleh saudari berikan sedikit kata-kata perangsang kepada mereka yang bakal mengambil peperiksaan dan mungkin merupakan pembaca setia blog ini khususnya serta remaja di luar sana secara umumnya.
ASMA': “Do the best because Allah always does the best to us”. Lakukan apa jua dan lakukan ia dengan cemerlang untuk seterusnya memartabtkan ISLAM di mata dunia. Sekian dan terima kasih kerana sudi menemubual saya.
p/s: Semoga kejayaan Asma' menjadi perangsang kepada adik-adik Nisa' yang bakal menduduki peperiksaan penting pada tahun ini.

No comments: