Pelajar hidap kanser serius dapat 9A PMR
Oleh NORAINI A. GHANI
|
|
KUALA TERENGGANU 28 Dis. – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Noor Amalina Abd. Rahman, 15, membuktikan penderitaan kanser ovari tahap ketiga yang ditanggungnya tidak pernah menjadi penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Walaupun pernah diramal tidak mempunyai harapan untuk hidup lama kerana kansernya sudah mencapai tahap ketiga tetapi keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya.
Hari ini adalah hari paling gembira buat gadis kelahiran Padang Midin itu apabila berjaya memperoleh 9A dalam PMR yang diumumkan hari ini.
Bapanya, Abd. Rahman Harun, 54, seorang pesara, memberitahu, Noor Amalina telah didiagnosis dan disahkan doktor menghidap kanser ovari tahap ketiga pada Mac lalu.
“Keadaan Noor Amalina sangat menyedihkan sehingga doktor memberitahu peluangnya untuk hidup mungkin 50-50.
“Tetapi Noor Amalina tidak pernah putus asa, walaupun terlantar di hospital, tidak dapat makan dan hanya bergantung pada air melalui tiub, namun dia tetap tidak melupakan pelajarannya,” katanya.
Malah, kata Abd. Rahman, yang paling menyentuh perasaan ialah walaupun dalam keadaan letih selepas menjalani rawatan kemoterapi pada Mei lalu, Amalina tetap bertegas untuk menduduki PMR.
“Bayangkan Noor Amalina terpaksa mengalas bantal di kerusinya sewaktu peperiksaan kerana berat badannya susut mendadak,” katanya.
Noor Amalina ketika ditemui di sini hari ini sebak dengan keputusan PMR tersebut kerana tidak menyangka masih mampu mencapai 9A walaupun menderita melawan penyakitnya itu.
“Keadaan saya dulu memang teruk sehinggakan doktor terpaksa menebuk perut dan hati saya untuk membuang air.
“Tetapi bagi saya itu bukan sebab untuk berputus asa, sebab itu saya tekad menjalani pembedahan pada Mei lalu diikuti enam kali rawatan kemoterapi,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor.
Malah, semangatnya terus cekal dan mahu menyambung pelajarannya di tingkatan empat di sekolah yang sama tidak lama lagi.
Pengetua SMKA Sheikh Abdul Malek, Che Ku Razak Che Mohd. turut melahirkan rasa gembira dengan kejayaan Noor Amalina.
“Noor Amalina adalah salah seorang daripada 116 pelajar sekolah ini yang berjaya mencapai keputusan 9A.
“Namun kekentalan dan ketabahan hatinya cukup luar biasa sehinggakan banyak guru yang menitiskan air mata,” katanya.
Katanya, Noor Amalina wajar menjadi contoh dan model kepada remaja hari ini betapa kejayaan boleh dicapai dalam apa juga keadaan walaupun ketika berjuang antara hidup dan mati.
No comments:
Post a Comment