Tuesday, December 12, 2006

RUQAYA WAJAR DICONTOHI



Kejayaan, penampilan Ruqaya wajar dicontohi atlet muslimah



Saidah Hairan Tue Dec 12, 06 03:40:51 AM
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Hrkh) - Muslimat PAS mencadangkan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Azalina Othman Said menjadikan kemenangan ratu pecut Bahrain, Ruqaya Al Ghasara sebagai contoh wanita Islam yang menutup aurat boleh berjaya dalam bidang sukan.
Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali berharap menteri berkenaan dan Kementeriannya tidak bersikap prejudis atau negatif terhadap pemakaian menutup aurat yang merupakan kewajipan bagi umat Islam.
Mengulas kejayaan pelari pecut Bahrain dalam acara 100 meter (gangsa) dan 200 meter (emas) di Sukan Asia Doha, beliau menegaskan Islam tidak melarang wanita menceburi sukan tetapi sebagai umat Islam mereka wajib memakai pakaian yang sesuai menjaga tatasusila sekalipun ketika bersukan.
"Saya harap atlet sukan Malaysia dan dunia khususnya wanita jadikan Ruqaya sebagai teladan terbaik kerana dengan pemakaian menutup aurat itu tidak menyekat beliau untuk aktif dalam sukan dan mendapat pingat emas," katanya kepada Harakahdaily.
Dr Lo'Lo' yang juga AJK PAS Pusat bersyukur kepada Allah SWT kerana selama ini Muslimat PAS memang menyatakan bahawa dengan menutup aurat tidak akan menghalang seseorang itu berjaya dalam bidang masing-masing.
Beliau berharap tiada lagi pihak menjadikan isu pakaian sebagai penghalang untuk mendapatkan kejayaan.
"Saya mengharapkan wanita seluruh dunia khususnya wanita Islam dapat mengambil iktibar dan segera membuat tindakan untuk mengubah minda dan cara berpakaian ketika bersukan," tegasnya. - lanh

No comments: