Monday, April 7, 2008

Sekitar Talkshow Nisa' Ke 7 -> JEJAK RASUL : KU RINDUI SUNNAHMU

5 April 2008/28 Rabiul Awal, Kuala Lumpur – Sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, Talkshow Nisa' kali ini menghidangkan para hadirin dengan membawa tajuk Jejak Rasul : Ku Rindui Sunnahmu.

Bertempat di Dewan Seminar, Masjid As-Syakirin KLCC, talkshow kali ini berjaya menarik penyertaan sekitar 140 orang yang terdiri daripada muslimin dan muslimat dalam menghayati perjalanan hidup Rasulullah S.A.W.

Penyampaian yang cukup terkesan di jiwa hadirin oleh penceramah talkshow kali ini iaitu Dr. Azhar Yaakub, yang memiliki PhD dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan menjadikan para hadirin tidak berganjak hingga ke akhir talkshow. Program telah dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Zainuddin Abd Rahman pada jam 2.30 petang.

Selama dua jam, Dr Azhar telah membawa satu dimensi baru dalam kita menghayati Maulidur Rasul dengan menghidangkan kepada para hadirin, pengisian yang berkisarkan tentang peristiwa-peristiwa di saat kewafatan Nabi.


Di antaranya, Nabi sentiasa menziarahi kubur serta diuji dengan 3 penyakit menjelang kewafatan Baginda. Nabi turut duji dengan sakit tenat selama 5 hari berturut-turut sebelum wafat. Banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil. Antaranya, kita hendaklah sentiasa mengingati mati dan menjaga solat. Selain itu, kita hendaklah mendalami dan menghayati kalam Allah S.W.T iaitu Al-Quran.

Para hadirin juga turut terkesan hingga menitiskan air mata keinsafan, dengan pendekatan penceramah yang mengajak hadirin untuk memuhasabah diri tentang sejauh mana kasih kita kepada Nabi.

Oleh itu, marilah sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Nabi dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sebagai tanda kasih kita kepada suri teladan yang agung iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Sekalung penghargaan buat muslimin dan muslimat yang telah memeriahkan talkshow kali ini. Semoga terus istiqamah untuk terus menghadiri talkshow dan program-program Nisa' yang lain.


Kepada mereka yang tidak berpeluang untuk menghadirkan diri, insya Allah kami akan membawakan kepada anda tajuk-tajuk yang lebih menarik dan padat dengan ilmu-ilmu pengisian rohani dan mendidik jiwa untuk mengisi ruang-ruang vakum dalam situasi masyarakat yang dahagakan pengisian di kala berhadapan dengan dugaan serta cabaran bersifat keduniaan di akhir zaman ini.

Oleh itu, semua muslimat dan juga muslimin diseru untuk mengajak sahabat-sahabat, jiran, saudara dan sesiapa sahaja untuk hadir pada talkshow yang akan datang. Sokongan daripada semua amatlah dihargai dalam menjayakan talkshow, anjuran Unit Pembangunan Insan (UPI), Nisa' Wilayah Persekutuan.

"Kerana Dirimu Begitu Berharga..."

No comments: