Monday, July 9, 2007

SEMINAR PEMBELAJARAN CEMERLANG...TAHNIAH ADIK2!!



Ahad, 8 Julai 2007- Alhamdulillah dengan berkat keizinan dari Allah Taala, Nisa' WP telah berjaya menganjurkan program Seminar Pembelajaran Cemerlang V (SPC) di Masjid As-Syakirin KLCC. Program ini mendapat sambuat yang memberangsangkan dimana seramai 210 orang peserta yang berumur 11 tahun hingga ke 18 tahun telah mengambil bahagian. Program telah dimulakan dengan slot pertama bersama Ustaz Zamri Mohd Zainuldin (Mari Mengaji TV9). Dengan membawa tajuk "Syaksiah Pelajar Muslim" ustaz telah menekan beberapa ciri seorang pelajar muslim yang cemerlang. Antara ciri pelajar muslim yang cemerlang ialah mestilah mendekatkan diri pada Allah, menjauhi perkara maksiat, menjaga maruah diri dan banyak lagi. Sedikit-sebanyak apa yang di sampaikan oleh ustaz Zamri mampu memberi kesedaran kepada peserta yang hadir. Untuk lebih menceriakan, pihak penganjur telah menyediakan 10 hadiah saguhati kepada peserta yang berjaya menjawab soalan oleh pihak penceramah.

Pakar motivasi terkenal, En. Fazli Yusoff mengisi slot yang kedua dengan membentangkan tajuk "Tips Pecutan Saat Akhir Menjelang Peperiksaan". Beberapa teknik telah diajar kepada peserta supaya boleh mengingat dengan cepat dan lebih berkesan. Antara teknik tersebut ialah teknik M.U.G iaitu Maya, Unik & Gila-Gila. Teknik tersebut amat menarik untuk dipraktikkan. Daripada terpaksa membaca dan menghafal teori yang sangat panjang, teori itu dapat diringkaskan menjadi lebih menarik, gila-gila dan amat mudah diingati. Peserta telah diuji untuk mempraktikkan teknik tersebut, dan ramai peserta yang telah berjaya untuk menguasainya.

Kemuncak kepada program pula, diadakan zikir munajat dan solat hajat yang dipimpin oleh Ustaz Sazzley, penyanyi kumpulan nasyid Wadi Al-Jadid. Suara Ustaz Sazzley yang merdu dan mendayu-mendayu menusuk kalbu membawa Zikir Munajat menyebabkan kelihatan ramai peserta dan pihak penganjur sendiri menitiskan air mata keinsafan dan kesedaran tentang betapa lekanya hidup di dunia ini. Program berakhir dengan solat zuhur secara berjemaah.

Secara keseluruhan program berjalan dengan lancar. Ramai ibu-bapa dan peserta yang membuat permintaan agar adanya proram susulan seperti Teknik Menjawab Soalan dan sebagainya. Pihak Nisa'WP mengucapkan jutaan terima kasih diatas sokongan yang diberikan serta memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya sepanjang program yang berlangsung terdapat kekurangan dan kesilapan yang dilakukan oleh pihak penganjur. Terima kasih juga kepada kakak-kakak senior Nisa'WP yang turut berganding bahu menjayakan program ini.

InsyaAllah.. Nisa' Wilayah Persekutuan akan terus mengadakan program yang menarik dan bermanfaat kepada semua.

oleh Mira
Nisa WP 3N

No comments: