Thursday, January 18, 2007

NISA' GAMES 2007.....KOTA BHARU

NISA’
NISA’ merupakan sebuah kelab yang menjaga kebajikan remaja dari sudut kerjaya dan kaunseling serta memberi kefahaman Islam dengan cara baru, ceria dan unik sesuai dengan minat remaja. Justeru, NISA’ berusaha untuk merancang dan melaksanakan program terbaik untuk remaja dengan mendedahkan gaya hidup sihat dan menjadikan Islam sebagai cara dan contoh terbaik seperti dalam bersukan, berhibur dan berprogram.

Menyahut Seruan Kerajaan
Bagi menyahut seruan kerajaan, NISA’ berusaha membantu dengan cara terbaik bagi membimbing remaja menjalani gaya hidup sihat. NISA’ menjadikan program NISA’ Games ini bagi membantu kerajaan menjayakan kempen Belia Benci Dadah begitu juga Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007.

Sukan dan Islam
NISA’ cuba menterjemahkan secara luas kepada masyarakat, bahawa gaya hidup sihat dan bersukan juga merupakan tuntutan Islam. NISA’ cuba untuk turun menterjemahkan usaha ini mengikut landasan yang ditetapkan oleh Islam agar pengaplikasiannya mudah dilihat, dan difahami. Antara aspek yang akan ditekankan adalah, cara berpakaian dalam sukan, cara bersukan yang sesuai untuk wanita, perlaksanaan aktiviti bersukan yang selesa untuk wanita sesama wanita dan sebagainya.

Kesejahteraan semua
Melalui program NISA’ Games 2007 yang menghimpunkan kesemua wanita muda di seluruh Malaysia, membuka penyertaan kepada semua muslim dan bukan muslim, ia adalah medan terbaik bahawa Islam dan cara hidupnya adalah sihat dan sesuai untuk diamalkan oleh semua.

Objektif
Menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam mengaplikasikan gaya hidup bersukan.
Mewujudkan gaya hidup sihat bersukan dalam generasi muda masa kini, yang merupakan aset bernilai negara. Mewujudkan perpaduan yang lebih erat dengan pelbagai kaum melalui aktiviti sukan.
Meletakkan NISA’ di dalam masyarakat sebagai satu usaha kerjasama sosial bersama masyarakat.
Menterjemahkan bahawa pakej Islam adalah sesuai untuk semua, menyeluruh dan lengkap dengan segala aspek kehidupan, gaya hidup, sukan, kerjaya dan pembentukan peribadi.
Mengaplikasikan tuntutan bersukan mengikut landasan yang sebenar melalui penjagaan nilai-nilai murni.

KONSEP & INTIPATI

  • SUKAN sebagai GAYA HIDUP SIHAT.
  • SUKAN melalui penjagaan akhlak dan keperibadian.
  • SUKAN sebagai kemasyarakatan dan memupuk sikap muhibah pelbagai bangsa & kaum.
  • SUKAN sebagai keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

dipetik dari laman.... www.webnisa.net/games


Wednesday, January 17, 2007

NISA' GAMES 2007: NISA' WP SEDIA KE KELANTAN


Nisa' Games WP 2006 melabuhkan tirainya pada 14 Januari 2007 dalam satu acara penutup yang sederhana di Kelab FRIM, Kepong. Majlis Penutup yang bermula jam 1.15 tengahari disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, Wilayah Persekutuan, Pn. Salbiah Wahab. Dalam ucapan penutupnya, beliau mengingatkan bahawa Islam tidak melarang umatnya termasuk lelaki dan perempuan bersukan selagi mereka menjaga batas-batas syariat yang ditetapkan oleh syarak.
Beliau menggariskan 4 perkara yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu muslim dalam bersukan iaitu menjaga batas aurat, menjaga batas pergaulan, tidak mengabaikan pelajaran dan menjaga solat. Menurut beliau, sekiranya 4 perkara ini dipelihara, InsyaAllah Allah akan memberkati umatNya dan tiada sebab untuk Islam melarang kita dari bersukan khususnya kaum wanita kerana sukan itu dapat menyihatkan tubuh badan.

Sejurus sebelum majlis penutup berlangsung, satu pertandingan Badminton telah dijalankan. Seramai 16 peserta perseorangan dan 3 bergu berentap dalam persaingan untuk merebut tempat mewakili Nisa'WP ke Kelantan. Perlawanan yang bermula pada jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 1.00 tengahari itu menyaksikan persaingan sengit baik dalam kategori perseorangan mahupun bergu. Kehebatan peserta-peserta Nisa' Games WP 2006 mengheret kebanyakan perlawanan ke set tambahan. Akhirnya adik Athifathul Hasanah menggungguli kategori perseorangan manakala pasangan Rosni Adam dan Suhana Roslan menjuarai kategori bergu.
Pada 13 Januari 2007, bertempat di Kompleks Belia DBKL telah berlangsung perlawanan Bola Jaring Nisa' Games WP 2006. Sebanyak 8 pasukan telah berentap dalam perlawanan kalah mati. 4 pasukan yang layak ke separuh akhir menyaksikan saingan sengit antara pasukan Garfield menentang K-Force dan KL Net menentang Titiwangsa. Garfield menang tipis ke atas K-Force 9-8 manakala KL Net menang mudah ke atas Titiwangsa. Keputusan akhir meletakkan Garfield menjadi Juara Bola Jaring Nisa' Games WP 2006, KL Net tempat kedua dan Titiwangsa tempat ketiga setelah K-Force menarik diri dalam penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Satu ujian saringan bagi acara bola tampar akan dijalankan pada 21 Januari ini bertempat di Kompleks Belia DBKL Cheras jam 2.30 petang. Para peserta yang telah pun menyertai acara- acara yang telah dipertandingkan sebelum juga adalah dijemput menyertai ujian saringan bola tampar tersebut. Untuk itu semua remaja perempuan dan wanita berumur 15-40 tahun diseru beramai-ramai memenuhi Kompleks Belia DBKL.

Dengan ini, Nisa'WP sudah pun bersedia untuk mencabar negeri-negeri yang lain untuk setiap kategori yang akan dipertandingkan dalam Nisa' Games 2007 di Kelantan pada 17-18 Februari 2007. Menjadi harapan Nisa'WP untuk memenangi kesemua kategori yang dipertandingkan. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan InsyaAllah kemenangan milik Nisa'WP. Takbir!!!

Unit Promosi Nisa' Games
Nisa' Wilayah Persekutuan

RAYUAN DERMA & SUMBANGAN MANGSA BANJIR JOHOR


RAYUAN DERMA & SUMBANGAN UNTUK MANGSA BANJIR JOHOR


Nisa' Malaysia akan menghantar pasukan sukarelawan ke Johor pada hari Ahad ini 21 Januari 2007 bagi membantu mangsa banjir di sana. Kami merayu mereka yang berkelapangan untuk menyertai pasukan sukarelawan Nisa' Malaysia. ( sukarelawan boleh memberi kaunseling, tazkirah, khidmat perubatan dan sebagainya kepada mangsa yang trauma). Sila berikan nama kepada Mai 0192042010 sebelum Jumaat ini 19 Januari 2007.


Sekiranya anda masih mempunyai perasaan SIMPATI dan ingin menyumbangkan derma serta bantuan kepada mangsa banjir , maka bolehlah salurkan derma dengan mengumpul daripada mereka yang terdekat dengan anda seperti rakan sepejabat, saudara mara terdekat, jiran-jiran dan sebagainya. Sumbangan bolehlah diserahkan kepada wakil Nisa' Malaysia dengan menghubungi Pn. Mastura 0123921966 @ Mai 019-2042010 @ Bank In ke akaun DANA KAMI PRIHATIN, Bank Islam Taman Melawati 12113010026150.


Sumbangan seperti berikut juga sangat diperlukan:

1. Pakaian ( terpakai & baru - diasingkan mengikut pakaian lelaki, wanita & kanak-kanak)
2. Lampin Pakai Buang (kanak-kanak)
3. Tuala Wanita ( sangat diperlukan )

4. Lain-lain (seperti peralatan solat, air mineral, keperluan harian wanita dan lelaki, susu bayi, beras dan makanan dalam tin).


Sila serahkan& kumpulkan bantuan tersebut sebelum 19 Jan 2006 ( Jumaat ) kepada :

Mai Suharah (019-2042010)

Zarina Amri (019-2649508)


Friday, January 12, 2007

FUTSAL: CHAIYO FC MENANG BERGAYA...



7 Januari 2007, melakar satu sejarah buat Nisa'WP dengan menganjurkan Futsal Nisa'WP sempena Nisa' Games WP 2006. Pertandingan yang diadakan bertempat di Soccer XL Segambut bermula jam 9.30 pagi dan disertai seramai 6 pasukan dalam perlawanan yang dijalankan secara kalah mati. Pasukan yang bertanding terdiri daripada Segambut FC (1), Segambut FC (2), Wangsa Maju, Stone, BTR dan Chaiyo FC.


Pada pusingan pertama setelah melalui undian, Segambut FC (1) bertemu Chaiyo FC, Segambut FC (2) menentang Wangsa Maju dan Stone menghadapi BTR. Perlawanan yang dilangsungkan selama 7, 3, 7 untuk setiap pasukan ini menyaksikan Chaiyo FC membelasah Segambut FC (1) 8 - 0, Segambut FC (2) mengalahkan Wangsa Maju 2-0 dan Stone menang 3-0 ke atas BTR.


Ini bermakna pasukan yang melayakkan diri ke semi final ialah Chaiyo FC, Segambut FC 2 dan STONE. Perlawanan peringkat separuh akhir diteruskan secara kiraan mata. Chaiyo FC sekali lagi mengukuhkan penguasaan dengan 6 mata penuh setelah mengalahkan Segambut FC 2 dengan 9-1 dan Menang ke atas STONE dengan 5-1. Segambut FC (2) mengekori Chaiyo FC dengan mengumpul 3 mata setelah Menang ke atas STONE 4-0 dan Kalah kepada Chaiyo FC 1-9.

Chaiyo FC bertemu semula dengan Segambut FC (2) pada peringkat akhir dan perlawanan berkesudahan dengan Chaiyo FC menang bergaya dengan mengalahkan Segambut FC (2) 8-0. Tahniah kepada Chaiyo FC!!!

MAKLUMAN T-SHIRT NISA'

Nisa'WP mengucapkan berbanyak terima kasih kepada individu yang berminat dan menempah T-shirt Nisa' melalui wakil-wakil kami. Kami memohon berbanyak maaf kerana atas sebab kesilapan teknikal, T-shirt yang dijanjikan belum boleh dijual. Kami sedang berusaha mengatasi masalah ini dan InsyaAllah, setelah siap kami akan pamerkan gambar real t-shirt untuk disemak semula oleh mereka yang berminat. Sekiranya kewangan kami mengizinkan InsyaAllah kami akan memperbaiki kualiti produk dan servis kami. Sebarang masalah sila hubungi Mai 0192042010 @ Pn. Hani 0132316131.