Tuesday, July 29, 2008

Nisa' Explorace berjaya!!!


“Life Is All About Challenge, Explore Your Exciting World”
, tema Explorace Nisa' yang meninggalkan cebisan kenangan yang manis buat para peserta dan juga Exco Nisa'
Wilayah yang terlibat. Bertempat di Taman Sri Gombak, Explorace kali ini lebih mencabar dan berjaya menarik seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada remaja-remaja yang mewakili Nisa` kawasan masing-masing. Walaupun program Explorace mengalami masalah perubahan tempat di saat akhir, namun Alhamdulillah program ini telah berjalan dengan lancar.Program dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan sesi Ice Breaking. Sebanyak 8 kumpulan terlibat dalam mengharungi cabaran-cabaran di 9 Pit Stop yang disediakan untuk para peserta di mana kesemuanya memupuk semangat kerjasama, keberanian,kepimpinan dan juga menguji tahap kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.Antara cabaran yang mesti dilalui oleh para peserta adalah seperti cabaran menjual barangan kepada orang ramai serta membuat dan menaikkan layang-layang. Selain itu, cabaran yang menguji minda para peserta ialah membuat belanjawan pembangunan dengan peruntukan diberikan serta menyusun dan menghafaz ayat Al-Quran.Cabaran yang menguji semangat kerjasama antara pasukan ialah menyambut belon secara berperingkat dari 3 tingkat tangga yang agak tinggi. Mengukur kelapa dan seterusnya memerah santan juga merupakan cabaran yang memerlukan kemahiran para peserta kerana mereka mengukur kelapa menggunakan kukur kelapa tradisional. Agak mencabar bagi remaja yang tinggal di kota metropolitan untuk melalui aktiviti ini, namun ada yang berjaya melakukannya.

Pit stop yang paling mencabar iaitu Fear Factor, di mana peserta dimestikan mengambil kunci di dalam baldi yang mengandungi 2 ekor belut. Kebanyakan peserta sukar untuk menghadapi cabaran ini dan ada juga yang menangis. Cabaran ini begitu meninggalkan kesan kepada kebanyakan peserta.
Nisa' Explorace kali ini telah berjaya memupuk semangat berpasukan antara peserta, membina sifat kepimpinan dalam diri peserta, mendidik para peserta mengatasi faktor penghalang untuk menjadi insan yg pro-aktif. Dan, yang paling penting program ini adalah salah satu alternatif yang mampu mendekatkan Nisa’ kepada remaja.

Di kesempatan ini, pihak kami ingin mengucapkan tahniah dan syabas buat semua peserta yang telah berjaya mengharungi cabaran dan seterusnya menjayakan Nisa' Explorace kali ini.

Sekalung penghargaan juga buat Jawatankuasa Pelaksana dan juga para Fasilitator yang terlibat. Semoga Explorace kali ini menjadi kenangan yang bermakna kepada semua dan peserta dapat mengaplikasikan pengalaman yang dilalui ke dalam kehidupan seharian dalam mengharungi setiap cabaran dan rintangan yang mendatang.

No comments: