Tuesday, July 29, 2008

Memanah - bukan sahaja Sukan tetapi Kemahiran


Alhamdulillah, pada 12 Julai 2008 yang lalu, Unit Sukan & Rekreasi (USR), Nisa' Wilayah telah berjaya mengadakan Aktiviti Memanah di Padang MINDEF, Jalan Padang Tembak. Aktiviti ini julung-julung kali diadakan dan
berjaya menarik seramai 30 orang peserta. Sesi dimulakan dengan senaman ringkas oleh Exco USR. Kemudian, setiap peserta diberikan penerangan ringkas tentang peralatan memanah dan cara penggunaannya. Sesi ini telah dikendalikan sendiri oleh salah seorang ahli Nisa' Wilayah iaitu Saudari Faridah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini.


Sebelum memulakan Aktiviti Memanah, pastikan anda memakai pelapik jari (finger tab), pelindung lengan (arm guard) dan pelindung dada (chest guard) untuk tujuan keselamatan. Peralatan utama adalah nock panah dan busar. Pengiraan markah pula berdasarkan warna sasaran nock panah iaitu kuning (9/10 markah), merah (7/8 markah), biru (5/6 markah), hitam (3,4 markah) dan putih (1,2 markah). Secara keseluruhannya, semua peserta telah berpeluang untuk mencuba dan mereka berpuas hati dengan Aktiviti Memanah kali pertama ini.

Memanah adalah antara aktiviti sukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Terdapat sebuah kisah di mana Nabi pernah berjalan-jalan dan menjumpai sekelompok sahabatnya yang sedang mengadakan Pertandingan Memanah, maka pada waktu itu, Rasulullah s.a.w. telah memberikan dorongan kepada mereka dengan sabda Baginda: "Lemparkanlah panahmu itu, saya bersama kamu." (Riwayat Bukhari)

Allah s.w.t. berfirman: "Dan bersiap-siaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan yang kamu sanggup."

Dalam menafsirkan ayat ini Rasulullah bersabda: "Ketahuilah! Bahwa yang dimaksud 'kekuatan' itu ialah memanah - beliau ucapkan kata-kata itu tiga kali." (Riwayat Muslim)

Dan sabdanya pula: "Kamu harus belajar memanah karena memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu." (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, dapat disimpulkan bahawa aktiviti memanah ini memang amat digalakkan oleh Islam kepada muslimin dan muslimat seluruhnya. Memanah bukan sahaja satu cabang sukan yang berprestij malah ia merupakan kemahiran dalam peperangan.

Alhamdulillah, ramai di kalangan peserta yang berharap agar Nisa' Wilayah akan mengadakan sesi lanjutan untuk mereka terus mempelajari sukan ini. InsyaAllah jika dipermudahkan Allah s.w.t, USR pasti akan mengendalikan sesi ke-2 dalam masa terdekat. Semoga usaha-usaha untuk mendekatkan diri kita dengan sukan tanpa meminggirkan prinsip Islam akan berjalan dengan lancar dan mendapat redhaNya.

1 comment:

Anonymous said...

Salam buat Team Nisa WP,

Mabruk atas anjuran prog ini. Tapi kalau dapat dibuat pula prog2 kemahiran yg bersesuaian dgn peribadi muslimah macam kelas menjahit, sulam, masakan yg simple tapi best utk suami pun bagus juga.

Kemahiran untuk bidang2 yg melibatkan penjagaan syariat spt ini (aurat, pemakaian, pemakanan) amat penting spy kita sbg muslimah tidak perlu bergantung kpd kepakaran org kafir sbgmana hari ini.