Tuesday, May 20, 2008

"AKU TERIMA NIKAHNYA..." PIKAT 400 ORANG HADIRIN!!!

11 Mei 2008 (Ahad), Masjid As-Syakirin, KLCC - "Aku Terima Nikahnya....." merupakan tajuk talkshow nisa` kali ke-9 yang telah berjaya memikat hadirin mencecah 400 orang yang terdiri daripada muslimin dan muslimat.

Penyampaian yang begitu berkesan oleh penceramah yang dikenali ramai iaitu Ustaz Hasrizal Abd Jamil atau dikenali sebagai Saiful Islam menjadikan para hadirin tidak berganjak hingga ke akhir talkshow. Program telah dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Naib Johan Akademi Al-Quran Musim Pertama iaitu Saudara Amirahman Bin Abbas.

Selama dua jam setengah para hadirin dihidangkan mengenai persediaan sebelum ke alam perkahwinan, panduan dan ilmu rumahtangga, matlamat dan kepentingan sesebuah keluarga Islam.Selain itu, hadirin juga didedahkan dengan cabaran dan rintangan dalam melayari bahtera rumahtangga terutama dalam mendidik anak-anak.

Turut diselitkan juga adalah mengenai pengalaman-pengalaman beliau dan realiti kehidupan rumahtangga masyarakat masa kini. Realitinya, ramai yang sudah mendirikan rumahtangga masih cetek tentang ilmu dan panduan kekeluargaan Islam yang sebenar.Bukan saja meliputi dari sudut ilmu, malah dari segi persediaan rohani, mental dan fizikal.

Selain itu juga, keseimbangan di dalam rumahtangga adalah perlu supaya tanggungjawab sebagai hamba Allah tidak terabai.Dengan adanya kesimbangan ini, maka dapat mencorakkan sebuah keluarga Islam dan akan melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.Dan, bermula dari keluarga Islam inilah yang akan membentuk sesebuah institusi masyarakat Islam yang sebenar.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mencari dan menggandakan ilmu tentang kekeluargaan Islam bagi membentuk sesebuah keluarga sakinah dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai Islam di dalam kehidupan seharian.

Sekalung penghargaan buat muslimin dan muslimat yang telah memeriahkan talkshow kali ini. Semoga terus istiqamah untuk terus menghadiri talkshow dan program-program Nisa' yang lain.

Kepada mereka yang tidak berpeluang untuk menghadirkan diri, insya Allah kami akan membawakan kepada anda tajuk-tajuk yang lebih menarik dan padat dengan ilmu-ilmu pengisian rohani dan mendidik jiwa untuk mengisi ruang-ruang vakum dalam situasi masyarakat yang dahagakan pengisian di kala berhadapan dengan dugaan serta cabaran bersifat keduniaan di akhir zaman ini.

Oleh itu, semua muslimat dan juga muslimin diseru untuk mengajak sahabat-sahabat, jiran, saudara dan sesiapa sahaja untuk hadir pada talkshow yang akan datang. Sokongan daripada semua amatlah dihargai dalam menjayakan talkshow, anjuran Unit Pembangunan Insan (UPI), Nisa' Wilayah Persekutuan. "Kerana Dirimu Begitu Berharga..."

No comments: