Tuesday, September 18, 2007

TALKSHOW NISA' KALI KE 5

RAMADHAN... KEHADIRANMU SATU ANUGERAH

16 Sept 2007 – “Ramadhan….Kehadiranmu Satu Anugerah. Talkshow Nisa’ kali ke 5, telah berjaya menarik lebih 100 orang hadirin bertempat di Dewan Seminar, Masjid Asy-Syakirin, KLCC. Talkshow kali ini telah disampaikan oleh Ustazah Teh Izanuri dan berjaya menyentuh hati para hadirin. Bersesuaian dengan Bulan Ramadhan yang disambut oleh semua umat Islam, talkshow kali ini diisi dengan penjelasan mengenai keistimewaan Bulan Ramadhan, anugerah yang diberikan oleh Allah pada Bulan Ramadhan, tanda-tanda malam Lailatul Qadar, dan juga pengajaran yang diperolehi dalam Bulan Ramadhan. Dalam sesi soal jawab juga, peserta yang hadir tidak melepaskan peluang keemasan untuk bertanya soalan pada ustazah berkaitan ibadat yang dilakukan pada bulan Ramadhan iaitu Solat Sunat Terawih. Pengisian yang begitu padat dan penuh penghayatan memberi satu kesedaran kepada peserta untuk terus menghayati erti sebenar bulan yang penuh dengan rahmat dan barakah dari Ilahi.

Selesai sessi talkshow, Solat Asar berjemaah dijalankan diimamkan oleh Ustazah Teh. Kemudian, seramai kira-kira 30 orang peserta menyertai sessi tadarus diketuai oleh Ustazah sendiri. Surah Al Baqarah menjadi surah pilihan bagi tadarus yang telah dilaksanakan. Rata-rata peserta berpuas hati berpeluang bertadarus bersama disamping memperbetulkan bacaan melalui tunjuk ajar ustazah. Seterusnya, hadirin yang masih setia berada di Masjid KLCC, tidak melepaskan peluang untuk Iftar beramai-ramai. Program seperti ini dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah yang terbina kerana Allah S.W.T dan Islam yang tercinta.

Bagi menghargai para muslimat yang sentiasa menyokong program Talkshow ini yang dijalankan sebulan sekali, sekali lagi Talkshow pada bulan berikutnya akan diadakan pada 28 0ktober 2007.Dengan membawa tajuk yang lebih menarik dan lebih padat dengan ilmu-ilmu bagi pengisian rohani dan mendidik jiwa kita. Oleh itu, semua Muslimat diseru mengajak rakan, jiran, saudara dan sesiapa sahaja untuk hadir pada talkshow yang akan datang. Sokongan daripada semua Muslimat sekalian amatlah dihargai dalam menjayakan Talkshow, anjuran Unit Pembangunan Insan (UPI) Nisa' Wilayah Persekutuan. SALAM RAMADHAN……

"Kerana Dirimu Begitu Berharga"....

No comments: