Monday, September 3, 2007

SATU TEKAD...SATU PEMBAHARUAN..


Program Munajat Merdeka 2007 yang berlangsung pada 30/8 – 1/9/2007 baru-baru ini merakamkan detik-detik yang sangat bermakna bagi NISA’WP. Jemputan kerjasama daripada pihak masjid seawal lebih sebulan yang lepas, membuka lembaran baru bagi NISA’WP dalam merintis aktiviti kemasyarakatan dengan bekerjasama secara langsung dengan pihak luar seperti Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Bank Islam Malaysia Berhad. Peluang kerjasama ini sekaligus dapat memberi sedikit pengalaman bagi NISA’WP dalam berurusan dengan organisasi besar seperti BIMB. NISA’WP mengambil peluang ini dengan mengadakan pameran NISA’WP yang memberi maklumat dan penerangan tentang NISA’ kepada orang ramai yang mengunjungi Masjid Asy-Syakirin KLCC. Selain memberi peluang kepada NISA’ mengadakan pameran, pihak masjid juga memperuntukkan satu slot khas kepada NISA’WP. NISA’WP mengambil peluang ini dengan melancarkan satu program baru dibawah UNIT PEMBANGUNAN INSAN yang dinamakan Nisa’ Garden Talk (NGT).

Bermula pada 30/8/2007, Program Munajat Merdeka 2007 diisi dengan FORUM KEMERDEKAAN. Sebelum forum dimulakan, majlis diserikan dengan bacaan Al-Quranul Karim oleh Juara Akademi Al-Quran musim kedua, Saudara Anuar Hasin. Selesai forum, hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan As-Saufee dan Mirwana. Menjelang detik 12 tengah malam, hadirin melaungkan ungkapan MERDEKA sebanyak tiga sekali sebagai simbolik sambutan merdeka dan disusuli dengan bacaan doa, selawat serta takbir.

Sementara itu, tamat majlis pada malam itu, kumpulan PERKID dianggotai seramai lebih kurang 500 sukarelawan menjalankan operasi OPS MASIH ADA YANG SAYANG sekitar Kuala Lumpur dengan memberkas serta memberi kaunseling kepada pasangan-pasangan yang berpeleseran di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur.

Pada hari kedua, program diisi dengan pelbagai acara seperti pertandingan nasyid kanak-kanak, pertandingan mewarna dan melukis, serta motivasi remaja. Seramai 16 kumpulan remaja lelaki dari masjid seluruh Malaysia berhimpun di Masjid KLCC tahun ini dalam meraikan sambutan 50 tahun merdeka anjuran Masjid Asy-Syakirin KLCC. Selain motivasi, 16 kumpulan ini menyertai kejohanan futsal “Jom Futsal Remaja Masjid”. Kejohanan futsal yang diadakan selama dua hari dari 31/8/2007 - 1/9/2007, dijalankan di Gelanggang Futsal The Zone dan mnenyaksikan kemenangan berpihak kepada Maahad Tahfiz Al-Quran, Batu 9, Hulu Langat, Cheras.

Pada hari terakhir iaitu 1/9/2007, NISA’WP menganjurkan Nisa’ Garden Talk, sebuah program bual bicara yang kami adakan di tempat terbuka bagi menarik lebih ramai orang awam mendengar topik yang ingin kami sampaikan. Dengan membawa tajuk, LOVE is CINTA, hadirin dibekalkan dengan ilmu yang tak ternilai harganya oleh Ustaz Zamri Zainuldin (host Mari Mengaji) dan Ustazah Teh Jamaludin (pendakwah bebas). Garden Talk turut disertai oleh Ina Naim yang bersama-sama menjadi ahli panel jemputan. Ina Naim tidak lokek berkongsi sedikit pengalaman cinta yang dilaluinya dan mengakui lebih tenang dengan cinta yang dilayarinya selepas berkahwin. Nisa’ Garden Talk diserikan lagi dengan kehadiran pasangan Ina Naim iaitu Suhaimi Saad, yang menyampaikan dua buah lagu hit beliau, Pesona Zulaikha dan Kias Cinta, untuk hiburan para hadirin. Tahniah kepada moderator pentas dan moderator laman, Saudari Fauziah Abdullah dan Masnur Md Daud yang berjaya mengendalikan Nisa’ Garden Talk dengan baik.

Selesai slot Nisa' Garden Talk, NISA’WP melaksanakan penyampaian sumbangan untuk 10 ahli NISA’WP terpilih dalam program Nisa’ Merdeka Small Kindness. Penyampaian sumbangan kepada penerima sumbangan disampaikan oleh Ustaz Sharani daripada Masjid KLCC dan Ina Naim. Majlis Nisa' Garden Talk dan Nisa’ Merdeka Small Kindness tamat sekitar jam 12.15. Orang ramai tidak melepaskan peluang dengan beramah mesra dan merakamkan gambar kenangan dengan ahli panel khususnya pasangan pengantin baru Ina Naim & Suhaimi.

Majlis penutup Program Munajat Merdeka 2007 dijalankan pada jam 2.00 petang. Kesemua penganjur bersama iaitu BIMB, Dewan Pemuda Masjid Malaysia dan Nisa’WP diberi peluang untuk naik ke pentas menyampaikan ucapan penghargaan. Nisa’WP diwakili oleh Pegawai Perhubungan Awam nya, Pn Norhafizah Fadzil. Majlis tamat pada jam 3.30 petang.

Di kesempatan ini, NISA’WP ingin merakamkan sekali lagi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Program Munajat Merdeka 2007 khususnya kepada pihak masjid yang memberi kepercayaan kepada NISA’WP untuk bekerjasama serta sukarelawan Nisa’ yang sudi membantu kami sepanjang program. Terima kasih juga kepada peserta Nisa' Garden Talk yang sudi hadir meraikan program-program NISA’WP. Sambutan dan sokongan anda amat kami hargai. Harapan NISA’WP, semoga kerjasama seperti ini akan tercipta lagi dan InsyaAllah, NISA’WP akan memberikan yang terbaik untuk kecemerlangan ummah. Allahuakbar!!

No comments: