Hadirin kemudiannya dihidangkan dengan santapan rohani oleh Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rasyid, yang merupakan Presiden Tuan Sharifah Islamic Foundation. Ustaz Rashidy telah menyampaikan ceramah yang bertajuk: Kewajipan Berdakwah Dan Cabarannya Pada Abad ke-21.
Penceramah telah memulakan ceramahnya dengan menerangkan cabaran abad sekarang yang realiti persekitaran tidak dapat membantu untuk membentuk Hujjatul Islam. Ditambah pula dengan rancangan televisyen yang berbeza dengan zaman dahulu yang terlalu banyak meyiarkan rancangan berunsur hiburan. Cabaran bertambah dengan tindakan Missionary Kristian yang membaca dan menghafal Al-Quran dan memurtadkan umat Islam dengan menggunakan ayat Al-Quran.
Sesi seminar diteruskan lagi dengan penceramah jemputan yang kedua iaitu oleh Tuan Haji Kamaruddin Abdullah atau lebih dikenali dengan Brother Kamaruddin adalah merupakan Presiden IPSI. Dalam waktu yang singkat, beliau berjaya membawa hadirin mendalami halatuju dakwah dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Memulakan ceramahnya dengan ayat daripada Al Quran iaitu surah Al-Fushilat, Surah ke 41 dan ayat ke 33 yang bermaksud “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH dan mengerjakan kebajikan dan berkata “Sungguh, aku termasuk orang muslim (yang berserah diri)”. Beliau menyeru kepada semua hadirin supaya sentiasa bersikap terbuka kepada orang bukan Islam dan menegaskan tentang janji Allah s.w.t berupa ketenangan dan keyakinan ke dalam hati orang-orang yang menyampaikan seruan Islam kepada orang bukan Islam.
Penceramah telah mengupas bagaimana cara untuk berdakwah iaitu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Makruf yang utama ialah mengesakan Allah s.w.t dan mengajak manusia ke arah kebaikan. Manakala mungkar yang utama ialah syirik kepada Allah s.w.t. Seiring dengan ayat daripada Surah An-Nahl, ayat ke 125 yang bermaksud “serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk” Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud “Apabila Allah menggunakan kamu untuk memberi hidayah kepada seseorang maka itu lebih baik dari unta – unta merah”.
Kenapa perlu berdakwah? Penceramah mengupas soalan tersebut dengan menerangkan perlunya dakwah kerana ianya adalah tugas setiap Muslim , tanggungjawab dan tuntutan semasa. Benteng utama untuk menghalang dakwah kristian ialah encounter semula dakwah mereka. Kristianisasi telah tersebar ke serata dunia yang bermatlamatkan untuk meramai penganut kristian yang sesat ini.
Seminar ini telah diakhiri dengan sesi soal-jawab dan jamuan tengah hari. Tahniah dan terima kasih yang terhingga kepada semua urusetia dan peserta yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.
Insya Allah siri kedua Seminar Dakwah Masyarkat Majmuk akan menyusul pada bulan Januari 2010. Semoga mutiara-mutiara ilmu yang telah disampaikan dalam seminar ini dapat dimanfaatkan bersama. Diharapkan program seumpama ini boleh mengisi ruang-ruang vakum dalam situasi masyarakat yang amat dahagakan pengisian rohani seterusnya dapat menyebar luaskan kesyumulan dan keindahan Islam dimata dan dihati masyarakat Islam khususnya dan masyarakat majmuk amnya.
1 comment:
Diharapkan lepas ni kalau ade program macam ni pihak nisa boleh buat recording kemudian upload kat mediafire untuk dikongsi kepada umum..TQ
Post a Comment