Pada Sabtu, 21 Mac 2009 telah berlangsung Seminar Kepimpinan Wanita Generasi Harapan di Masjid As-Syakirin KLCC. Seminar ini anjuran Nisa Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Helwi Masjid AS-Syakirin KLCC. Seminar ini telah di hadiri seramai 150 orang peserta dari seluruh Wilayah Persekutuan.
Slot yang pertama telah dibentang oleh Ustazah Teh Izanuri Jamaluddin berkenaan tajuk “Kepimpinan Rasulullah Rahmat Seluruh Alam” . Ustazah Teh menceritakan kisah junjungan Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w semenjak baginda di lahirkan, sejarah perjuangan baginda, akhlak baginda sehingga baginda wafat. Begitu agungnya seorang manusia sempurna yang bernama Muhammad. Pengisian Ustazah juga diselangselikan dengan kalimah zikr dan selawat serta diakhiri dengan nasyid. Ustazah Teh mengajak peserta bermuhasabah diri sejauh mana diri mengingati Allah dan RasulNya seperti mana Allah dan RasulNya mencintai hamba dan umatnya.
Slot yang kedua pula berkenaan ”Personaliti Pemimpin Satu Daya Tarikan dan Pengaruh” yang disampaikan oleh Prof.Madya Dr.Wan Masri Wan Daud seorang penceramah bebas. Prof. Membawa peserta untuk menghayati 99 Asma’ Allah yang mana selama ini hanya di alunkan di bibir sahaja tanpa menghayati kekuatan setiap satu Asma’ Allah tersebut. Prof. telah menyedarkan peserta bahawa apa sahaja di dalam dunia ini adalah milik Allah semata-mata. Apa yang ada pada diri seperti wang, kekayaan, kecantikkan dan sebagainya adalah mutlak milik Allah dan hanya dipinjamkan sementara kepada manusia. Sebagai seorang pemimpin, jika dia benar-benar menghayati dan mengamalkan 99 Asma’ Allah ini akan melahirkan seorang pemimpin yang bertaqwa, berwibawa, bertanggungjawab, amanah dan sebagainya. Teruja dengan pengisian yang diberikan, tanpa disedari masa terlalu cepat berlalu.Slot berakhir pada jam 1.30 petang untuk memberi laluan kepada para peserta untuk makan tengahari dan solat zuhur.
Jutaan terima kasih di ucapkan juga kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana telah menaja program ini sepenuhnya. Para peserta telah dihidangkan dengan makanan yang sangat lazat dari pagi hinggalah ke akhir program. Slot ketiga adalah bengkel kepimpinan yang dipimpin oleh seorang pakar motivasi yang sedang mencipta nama di dalam masyarakat iaitu Pn Noraliza. Para peserta telah diminta untuk berada di dalam kumpulan dan membincangkan semula pengisian yang telah disampaikan oleh penceramah sebelumnya. Dalam bengkel ini juga para peserta telah di ajar cara untuk bercakap di khalayak ramai (public speaking) yang sebenarnya.
Di akhir program, telah diadakan acara perasmian penutup oleh wakil dari pihak JAWI iaitu Ustaz Shukri Daud. Para peserta juga akan mendapat sijil penyertaan dari pihak JAWI. Selain pengisian di dalam seminar, para peserta juga berkesempatan melihat pameran aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Nisa Wilayah Persekutuan di ruang legar. Secara keseluruhannya program ini telah dijalankan dengan jayanya.
Sekalung penghargaan di berikan kepada pihak JAWI, AJK Masjid As-Syakirin KLCC yang diketuai oleh Ustaz Nasir, AJK Wanita Masjid (HELWI) dan semua AJK Nisa Wilayah Persekutuan yang bertungkus lumus untuk memastikan program ini berjalan lancar. Jutaan kemaafan dipohon sekiranya sepanjang program berlangsung, ada kesilapan dan kekurangan yang berlaku.Semoga program ini mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t. Amin.
- Mira-
No comments:
Post a Comment