Monday, December 10, 2007

SMART WORKSHOP: Kemahiran Bermesyuarat Berjaya Digilap

Bengkel Pengurusan Organisasi atau SMART Workshop anjuran Unit Kerjaya Nisa’ WP yang julung-julung kalinya diadakan, berjaya dilaksanakan pada 9 Disember 2007 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras dengan tema ‘SMART MANAGEMENT, EXCELLENT RESULT’. Kehadiran peserta SMART Workshop seramai 50 orang yang datang dari pelbagai latarbelakang serta peserta yang datang daripada Negeri Sembilan, merupakan satu kejayaan bagi Unit Kerjaya NISA'WP dan berjaya menyuntik semangat CREW UKJ NISA'WP untuk meneruskan siri bengkel pengurusan organisasi pada masa yang akan datang.

Dalam fasa pertama bengkel ini, topik yang diketengahkan adalah Kemahiran Mesyuarat atau ‘Meeting Skills’. Slot pertama yang bermula pada pukul 9.30 pagi diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, pensyarah UM. Pembawaan Dr Hamdi yang agak santai dan menggunakan konsep dua hala telah memberi impak yang berkesan kepada para peserta. Beliau menyentuh berkenaan tugas-tugas pengerusi mesyuarat, setiausaha dan ahli mesyuarat. Selain itu, beliau menerangkan beberapa jenis mesyuarat dan kategori mesyuarat antaranya, ‘meeting efficiency’ dan ‘effective meeting’ serta beberapa tips untuk mencapai objektif dalam sesuatu mesyuarat. Sesi soal jawab di buka di akhir slot ceramah di mana beberapa persoalan diajukan oleh peserta bengkel. Antaranya ialah bagaimana cara yang terbaik untuk melontarkan idea di dalam mesyuarat. Slot pertama berakhir pada pukul 11.45 pagi dan peserta diberikan masa rehat selama 15 minit sebelum memulakan slot kedua.
Slot kedua iaitu slot simulasi yang dikelolakan oleh dua orang moderator jemputan dari REAL Leaders Sdn Bhd, En Kushairi bin Zubir dan Pn Roshidah bt Alwi bermula tepat pukul 12.00 tengah hari dengan pambahagian kumpulan. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan diberikan tugasan. Tugasan yang diberi adalah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tentang satu program peringkat antarabangsa dengan mengaplikasikan semua tips yang telah diberi semasa slot pertama. Setiap kumpulan juga dikehendaki menyiapkan kertas kerja ringkas program yang dibincangkan. Walaupun masa yang diberikan agak singkat, tetapi semua kumpulan berjaya menyiapkan tugasan masing-masing. Peserta diberi peluang untuk melontarkan idea, komen dan pengalaman di akhir slot simulasi. Antara tips yang dikongsi oleh moderator simulasi, sebagai ahli dalam sesebuah organisasi perlu tahu siapa kita dan peranan masing-masing barulah boleh melakukan kerja atau tugasan dengan berkesan.
Upacara penutup diadakan pada pukul 1 petang dengan ucapan penutup oleh Dr Rosni Adam, Timbalan Pengarah 2 Nisa’ Malaysia. Beliau menyeru dalam ucapannya agar semua peserta bengkel mencontohi Rasulullah SAW dalam konsep syura (mesyuarat). Beliau menambah bahawa dalam Islam sendiri amat menitikberatkan konsep syura (bermesyuarat) untuk membincangkan atau membuat keputusan dalam sesuatu perkara agar adanya keberkatan dari ALLAH S.W.T. Upacara penutup bagi SMART Workshop fasa pertama diakhiri dengan tayangan montaj Unit Kerjaya Nisa’WP dan sedutan fasa seterusnya dalam SMART Workshop yang akan datang. Semua peserta melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan program dan mengharap agar program ini akan diadakan pada masa akan datang demi melatih generasi muda dengan kemahiran-kemahiran pengurusan organisasi. Program tamat pada pukul 1.30 petang.

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

mungkin program ni boleh didokumentasi ke dalam bentuk video CD atau lain2. yg paling penting, dpt share dgn yg tak dapat hadir.