Monday, April 19, 2010

Berserah Atas Dasar Cinta...

“Saya tidak mampu berbuat apa lagi. Macam-macam dah saya usahakan. Masih tetap gagal. Berserah je lah pada Allah”

“Ujian demi ujian menimpa saya. Saya tidak mampu lagi berbuat apa-apa selain berserah pada Allah”

“Perniagaan saya sentiasa dirundung malang. Hutang saya keliling pinggang. Berserah sahajalah pada Allah. Saya tak mampu lagi nak berbuat apa-apa”

“Aku dah berlajar rajin-rajin. Kini berserah je pada Allah.”

Saudara,
Kata-kata di atas sering kita dengar. Lebih menyedihkan jika kita juga tergolong di dalam golongan orang yang sering menyebutkan kata-kata di atas.

Berserah itu mestilah atas dasar cinta pada Allah SWT. Bukan kerana terpaksa. Bukannya apabila kita telah tewas dengan kegagalan berkali-kali, kemudian kita berkata kita berserah pada Allah SWT. Ini bukan berserah yang sebenarnya.

Berserah itu tidak mendidik jiwa kita jika ia berlaku dalam keadaan terpaksa dan memaksa. Ia mesti lahir dari dalam jiwa kita dengan keyakinan kita pada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Ia mesti dibina atas dasar keyakinan hanya Allah SWT satu-satunya Tuhan yang berkuasa ke atas diri kita dan ke atas tiap-tiap sesuatu.

Ia mesti bermula dengan kesedaran tertinggi akan hal Allah SWT iaitu zat, sifat dan perbuatan Allah SWT. Ia mesti bermula dengan rasa cinta yang tidak terhingga kepada Allah SWT.
Kesedaran tertinggi -> cinta Allah SWT -> keyakinan pada Allah SWT -> berserah total 100% pada Allah SWT.

Saudara,
Kata-kata di atas meletakkan Allah SWT bukan pada tempat yang teratas. Setelah gagal, setelah puas berusaha, setelah penat belajar dan pelbagai lagi barulah mengharapkan Allah SWT. Salah faham dengan berserah tidak mampu menjadikan jiwa kita benar-benar positif dan yakin kepada Allah SWT.

Kerana itu mereka yang berserah dengan kata-kata di atas masih memiliki rasa risau, resah, gelisah dan sebagainya. Cuba berserah, namun penyerahan kepada Allah SWT itu hanya sekadar menggunakan fikiran yang positif sebagai ubat penyedap hati semata-mata.
Saudara,
Berserah perlu dimulakan dengan kesedaran tertinggi dan cinta kepada Allah SWT. Ia akan meningkatkan keyakinan kita perlahan-lahan. Ia perlu dilatih dan ditingkatkan sepanjang masa, setiap saat dengan kesedaran tertinggi.
Kerana itu laman web ini menyarakan agar sentiasa melakukan komunikasi dengan Allah SWT. Ia bertujuan untuk benar-benar menyedari dan merasai Allah SWT berada sangat dengan kita, malah meliputi diri kita.

Semoga dengan kefahaman bagaimana kita mampu berserah dengan latihan praktikal yang diberikan di dalam laman web ini, kita mampu berserah 100% (total surrender) kepada Allah SWT sebenar-benarnya. Berserah atas dasar cinta bukannya terpaksa.

Artikel bermanfaat daripada Dr Fuad Latip
http://www.fuadlatip.com/v1/

No comments: