Tuesday, October 2, 2007

UKK: NISA' SMALL KINDNESS...EDISI RAMADHAN..





2 Oktober 2007 – Nisa’ Wilayah Persekutuan melalui Unit Khidmat dan Kaunseling telah berjaya menyempurnakan Nisa’ Small Kindness: Edisi Ramadhan pada 30 September 2007 bertempat di Pusat Jagaan Titian Kasih, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Seramai 30 orang sukarelawan Nisa’ yang terdiri daripada ahli Nisa’WP sekitar Kuala Lumpur terlibat dalam program sulung UKK Nisa’WP.
(Sedikit maklumat tentang Pusat Jagaan Titian Kasih. Rumah ini merupakan pusat jagaan persendirian yang menerima kehadiran mereka-mereka yang memerlukan perlindungan seperti anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, remaja bermasalah dan yang seumpamanya).
Rombongan Nisa’WP tiba seawal 9 pagi di Titian Kasih. Sukarelawan Nisa’ diberikan taklimat ringkas tentang perjalanan program pada pagi itu. Bezanya NSK pada kali ini, fokus UKK bukan kepada bantuan kewangan tetapi sokongan dari sudut kasih sayang. UKK Nisa’WP mengambil kesempatan dalam kunjungan ke Titian Kasih ini, meletakkan matlamat jangka panjang dengan menjalin hubungan antara Nisa’WP dan Pusat Jagaan Titian Kasih melalui program adik angkat. Sukarelawan Nisa’ diamanahkan untuk mengambil antara 1-2 orang penghuni Titian Kasih sebagai adik angkat. Selepas penyerahan adik dan kakak angkat dilaksanakan, setiap pasangan adik dan kakak angkat diberikan masa selama 1 jam untuk berkenalan dan kesempatan ini diambil oleh kakak-kakak Nisa’ untuk menyelami hati adik-adik mereka.
Satu permainan yang dinamakan TEKA-TEKA dikendalikan oleh Nisa’WP melibatkan adik dan kakak angkat selepas sessi suai kenal. Permainan ini berjaya merapatkan lagi hubungan antara adik dan kakak angkat. Diakhir program, setiap kumpulan diberikan hadiah cenderahati.
Menurut Mak Pah, Pengurus Pusat Jagaan Titian Kasih, beliau amat mengharapkan bantuan Nisa’WP dari sudut Kaunseling dan Bimbingan Agama bagi membantu anak-anak di Titian Kasih. Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Nisa’WP kerana sudi mengambil peduli terhadap penghuni di Titian Kasih.
UKK Nisa’WP juga amat berterima kasih kepada Pusat Jagaan Titian Kasih kerana sudi menerima kunjungan Nisa’WP pada kali ini. Pn. Dewi Malisa, Ketua UKK Nisa’WP juga memaklumkan, insyaAllah, program-program susulan akan dirangka oleh UKK Nisa’WP bagi mencapai misi UKK Nisa’WP dalam memberikan khidmat dan kaunseling kepada masyarakat. Beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sukarelawan Nisa’ yang membantu pada kali ini dan berharap lebih ramai lagi yang akan turun padang untuk bersama-sama berkongsi rasa dengan mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang dari anda semua. –my@Nisa’KL


No comments: