Monday, December 17, 2012

LARIS 12


KENYATAAN MEDIA
YAYASAN PRIHATIN TITIWANGSA / NISA WILAYAH PERSEKUTUAN

LARIAN SIHAT TITIWANGSA 12 (LARIS 12) MEMUPUK MASYARAKAT KL YANG SIHAT
(13 Disember 2012)
 
Yayasan Prihatin Titiwangsa (YPT) dengan kerjasama Nisa’ Wilayah Persekutuan (NISA WP) akan menganjurkan Larian Sihat Titiwangsa 2012 (LARIS 12). Ia akan diadakan pada 23 Disember 2012 (AHAD) bermula jam 7.30 pagi bermula dari Taman Tasik Hiliran Ampang, Kuala Lumpur. Dengan jarak sejauh 7.5 kilometer bagi lelaki manakala 6 kilometer bagi perempuan, larian ini akan merentas kawasan sekitar Desa Pahlawan, Desa Pandan, Taman Maluri, Kampung Pandan dan kembali ke Taman Tasik Hiliran Ampang. 

Larian ini diadakan dengan tujuan menyahut seruan kerajaan agar menggalakkan masyarakat hidup dalam budaya yang sihat sejahtera. Menyedari bahawa kadar kesihatan rakyat Malaysia semakin menurun dengan pelbagai penyakit menyerang masyarakat khususnya terhadap generasi muda, dan kebanyakannya berpunca dari amalan kesihatan yang tidak dijaga seperti pemakanan tidak seimbang serta kurangnya senaman. 


LARIS 12 juga diadakan bagi memupuk semangat persaudaraan dalam masyarakat serta kehidupan positif. Apa yang diharapkan, LARIS 12 dapat membina masyarakat yang prihatin, harmonis, toleransi serta saling membantu bagi menangkis budaya kehidupan liar dan tidak sihat seperti dadah, jenayah dan zina. 

Antara tetamu yang bakal hadir adalah saudara Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, Penasihat Undang-Undang Yayasan Prihatin Titiwangsa (YPT) yang akan merasmikan LARIS 12, Dr Rosni Adam dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ustaz Nur Raihan Abdul Aziz (PKWR), Mej (B) Ustaz Abdullah Abdul Wahab (YDP Titiwangsa), Puan Khairi Syutina Mahmood, Ketua Nisa WP dan lain-lain lagi.

Pelbagai aktiviti sampingan disajikan bagi menarik kehadiran tetamu ke LARIS 12. Antaranya aktiviti kanak-kanak dengan pertandingan mewarna dan origami, sukaneka kanak-kanak, cabutan bertuah untuk peserta LARIS 12 serta gerai jualan. Semua peserta LARIS 12 juga akan diberikan T Shirt percuma dengan yuran penyertaan hanya RM 10 (dewasa dan veteran) manakala RM 5  untuk remaja. Malah, maskot PASTI Hadi dan Huda turut menceriakan suasana program tersebut.

Dianggarkan seramai 500 peserta akan menyertai larian ini dengan pelbagai kategori disediakan seperti veteran lelaki dan perempuan (45-60 tahun), dewasa (18-44 tahun) bagi lelaki dan perempuan serta remaja (13-18 tahun) untuk lelaki dan perempuan. Hadiah utama untuk 10 pemenang utama setiap kategori disediakan dengan nilai RM2,000 jumlah keseluruhannya.

Bagi mereka yang ingin menyertai LARIS 12, boleh menghubungi Sdri Aminah di talian: 019 3694720 atau Sdr Hilman Muslim di talian : 013 3006125.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Pengarah Program
LARIAN SIHAT TITIWANGSA 2012 (LARIS 12)

No comments: